Video

Perjalanan ke Pantai Timur (Journey to The East Coast)

Perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuala Terengganu pada September 2006, bersamaan Ramadhan 1427 Hijriah merupakan yang pertama bagi ku - kembali ke suatu tempat yang selamanya menggamit hati. Perjalanan berseorangan merentas Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berakhir di Gambang, Kuantan. Perjalanan seterusnya sejauh 200 kilometer diteruskan dengan merentas jalanraya utama yang mengunjur di sepanjang Pantai Timur...
Keadaan laluan di Maran yang agak lengang.
Merentasi Maran, lanskap pemandangan segera bertukar dengan pokok-pokok kelapa menghiasi bahagian kiri dan kanan jalan. Ya, inilah Pantai Timur! Dengan angin pantai yang sesekali kencang menerpa, atmosferanya sama-sekali tidak sama dengan mana-mana bahagian di Pantai Barat Semenanjung - asli dan hampir-hampir tidak disentuh pembangunan.
Paka, dan industi petroleumnya.
Memasuki Paka, terlihat industri petroleumnya yang gah terbentang sejauh saujana mata memandang. Lantas fikiran mengimbau ke zaman kanak-kanak ketika sering melalui kawasan ini, yang sewaktu malamnya terang-benderang dek bakaran sisa gas asli.
Laluan merentas Marang yang dihiasi deretan pokok rhu.
Deretan pokok rhu yang tumbuh pada hamparan padang berumput kuning di tanah berpasir pantai yang putih bagai menggamit pandangan ku di sepanjang laluan merentas daerah Marang. Hanya satu perasaan yang mengisi hati tatkala melalui laluan ini seorang diri kali ini - Sunyi...
Masjid Rusila.
Ketika perjalanan semakin menghampiri Kuala Terengganu, aku sempat singgah di Masjid Rusila yang merupakan salah satu ikon dalam perjuangan sebuah parti politik berteraskan Islam di Malaysia. Pada setiap hari Jumaat, kawasan di sekitar masjid ini menjadi tumpuan orang-ramai sedari awal pagi untuk membeli barang-barang keperluan mereka daripada para peniaga yang menjalankan perniagaan di gerai-gerai kayu usang, sambil mendengar kuliah agama yang disampaikan khususnya oleh Ustaz Abdul Hadi Awang. Beginilah fungsi masjid dicontohkan bukan sahaja sebagai tempat ber'ibadah, bahkan sebagai pusat kegiatan ekonomi dan penyebaran ilmu pengetahuan!
Masjid Terapung.
Setelah sehari suntuk, perjalanan ku akhirnya terhenti di "Masjid Terapung" atau nama sebenarnya Masjid Tengku Tengah Zaharah. Kuala Ibai - inilah destinasi yang menjadi  tujuan perjalanan ku. 

Sebelum menuju ke rumah Pakcik Halim yang terletak di Kampung Kolam untuk bermalam, aku sempat membeli juadah untuk berbuka di bazar yang dibuka tidak jauh dari masjid. Pakcik Halim merupakan rakan ayah sewaktu kami tinggal di sini dari tahun 1986 sehingga 1990. Mereka mula berkenalan ketika sama-sama berniaga di Masjid Rusila. Pakcik Halim dan keluarganya berasal dari Kemboja. Mereka sekeluarga berhijrah dan menetap di Terengganu untuk menyelamatkan diri daripada kekejaman rejim komunis Polpot.

Sepanjang berada di Kampung Kolam, aku sempat berjumpa dengan 2 buah keluarga yang pernah berjiran dengan keluarga ku suatu masa dahulu. Malah dua daripada anak-anak lelaki sebuah keluarga adalah sebaya dengan ku. Ya, walaupun tidak pernah berhubung, sememangnya kami masih saling kenal dan ingat antara satu sama lain. Lagipun, di sinilah bermulanya kehidupan zaman kanak-kanak ku - masuk ke dalam semak belukar untuk mencari burung, menangkap ikan laga di dalam sawah padi, memanjat pokok dan banyak lagi pengalaman sebagai budak kampung yang comot!
Setelah 3 hari bermalam di Kampung Kolam, tibalah harinya aku berangkat pulang. Perjalanan pulang ini telah membawa aku ke Felda Jerangau. Anehnya, aku sering mengikut ayah berniaga di sini sewaktu kecil, dan sama-sekali tidak menyangka yang akhirnya aku akan kembali ke sini demi orang yang aku cintai.
Laluan di Ajil yang tak diketahui penghujungnya.
Setelah selesai segala urusan, hati ku sekali lagi dicengkam rasa sunyi apabila merentas laluan di Ajil yang tidak diketahui penghujungnya... Selamat tinggal Umi Laila...

No comments:

Post a Comment