Perjalanan tidak dirancang yang disertai oleh Ayahanda dan Bonda tercinta ke bahagian paling utara tanahair pada May 2008 merupakan suatu perjalanan yang penuh dengan sentimen - pulang ke tanah kelahiran ku. Kawasan ini lama dahulu terkenal dengan ladang tebu yang merupakan antara yang terbesar di Malaysia.
Namun setibanya kami di sini, semuanya itu tinggal sejarah, sebaliknya telah digantikan dengan anak-anak pokok getah yang ditanam pada tanah yang telah diterangkan.
Langit cerah membiru ketika kereta yang kami naiki meluncur membelah laluan merentasi padang rumput hijau yang luas terbentang.
Tidak lama kemudian, kami akhirnya tiba di sebuah rumah bernombor "251". Ya, inilah rumah pertama keluarga kami setelah kelahiran ku! Rumah ini masih dalam bentuknya yang asal dan kelihatan tidak banyak berubah sejak kami meninggalkannya lebih 20 tahun yang lalu. Ia kini didiami oleh sebuah keluarga Melayu. Sungguh tak dijangka! Setelah mengetahui maksud dan tujuan kedatangan kami, aku telah dijemput oleh tuan rumah untuk masuk dan melihat sendiri keadaan di dalam. Tidak mahu mensia-siakan peluang, aku memenuhi jemputannya
dan berpeluang merakamkan beberapa foto bahagian dalam rumah untuk diabadikan sebagai memori.
Bukan itu saja, ayah dan ibu ku turut didatangi jiran-jiran yang masih mengenali mereka. Maka, sempatlah mereka berbual dan bertanya khabar.. Diakhir lawatan pada lewat petang itu, kami kembali menyusuri padang rumput hijau yang dahulunya dipenuhi dengan tanaman tebu.
Satu lagi pemandangan yang indah dan menakjubkan - langit yang biru cerah, dataran rumput hijau seluas saujana mata dan bukit-bukit batu kapur di kaki langit! Semoga berjumpa lagi tanah kelahiran ku, Felda Chuping, Perlis!
No comments:
Post a Comment