Video

Litar Maut

Walaupun tidak dinamakan Formula Satu (F1), jalanraya merupakan "litar lumba" sebenar yang menyediakan cabaran berhalangan maut semulajadi tidak terjangka kepada para "pelumba"nya - iaitu aliran trafik rawak dan keadaan bentuk muka bumi sesuatu jalanraya itu sendiri. Aku sendiri telah beberapa kali hampir berkuburkan jalanraya apabila terperangkap dengan keegoan untuk tidak tunduk kalah kepada mana-mana "pelumba" yang mencabar aku.

Jalanraya yang paling aku gemari ialah Jalanraya Timur-Barat yang menghubungkan Baling di Kedah dengan Tanah Merah di Kelantan melalui Grik, Tasik Banding dan Puncak Titiwangsa di Perak. Berbanding jalan yang lurus, keadaan jalanrayanya yang sempit dan berliku-liku di lereng bukit menuntut kemahiran dan ketepatan pemanduan yang tinggi, sekaligus memberikan cabaran dan kepuasan memandu yang tiada tolok bandingnya. Keadaan tambah merbahaya apabila terdapat bahagian jalan yang rosak atau sedang dibaiki, tanah runtuh dan haiwan liar seperti gajah yang secara tiba-tiba muncul dan melintas dari arah hutan.


Selain Jalanraya Timur-Barat, laluan mencabar lain termasuk Lebuhraya Utara-Selatan melalui Terowong Menora yang menghubungkan Jelapang dan Kuala Kangsar di Perak, serta Lebuhraya KL-Karak melalui terowong Genting Sempah yang menghubungkan Gombak di Selangor dan Bentong di Pahang.

Jalanraya sebegini sangat "enak" sekiranya kereta yang dipandu bertransmisi manual yang bakal menyaksikan banyak penyelarasan pergerakan (synchronize) di antara gear, clutch, brek kaki dan tangan, di samping pengendalian stereng. Malah, adalah menjadi pantang-larang sekiranya brek kaki digunakan di kawasan-kawasan seperti ini kerana ia hanya mendedahkan kelemahan mengendalikan kenderaan kepada lawan apabila lampu merah di bahagian belakang kereta menyala!

No comments:

Post a Comment